Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Wednesday, September 06, 2006

Perubahan -Pemimpin Berubah, Diubah

Beberapa orang ketua cawangan mengatakan bahawa semua pemimpin berubah bila sudah mendapat tempat. Benarkah begitu? Kenapa mereka berubah? Apakah yang menyebabkan mereka berubah?

Bertalu-talu soalan ini menerpa benak saya. Saya lakukan sedikit kajian berdasarkan pengamatan sekeliling.

Memanglah ada kebenaran mereka yang jadi pemimpin dan ada kuasa mengalami perubahan personaliti. Dulu mereka hanya pemimpin biasa. Contohnya hanya jadi AJK Bahagian. Kemudian jadi Ketua Pemuda bahagian. Bila jadi Ketua Pemuda dia jadi ahli majlis kerajaan tempatan. Mungkin ada sedikit pengaruh. Tidakkah dia berubah???

Dari Ketua Pemuda bahagian dia jadi wakil rakyat. Sekarang sudah jadi YB. Kalau dahulu dia kata dia "pemimpin kerdil" dan pakai bahasa yang merendah diri, sekarang apa pula bahasa yang dia pakai. Pergi sana orang panggil YB, pergi sini orang panggil YB. Bagaimana perasaan. Egi berubah tak? Mustahil. Kalau orang tak panggil di YB dia mungkin rasa janggal. Kadangkala mungkin terbeliak mata macam nak telan orang yang tak panggil YB!!

Dari YB dia dapat gelaran Dato'. Sekarang kita kena panggil dia YB dato'. Berubah lagi tak bila dah dapat gelaran "Dato". Ada seorang kawan saya bila dia tulis sms pada saya dia pun guna "Dato' pada panggal namnya. Saya tahulah dia seorang "dato". Mungkin dia takut saya lupa.

Dari YB wakil rakyat biasa dia jadi EXCO kerajaan negeri. Sekarang sudah ada kuasa. Sudah ada portfolio tertentu. Banyak peluang yang ada sana dan sini. Kenalan bukan main ramai lagi sekarang. Bagaimana sekarang? agak-agak dia berubah lagi tak.

Lepas tu bila dia jadi EXCO kadang-kala dia kena jadi wakil MB dalam majlis. Sebab itu apa yang kita nak hairankan bila ada dari kalangan EXCO yang kadangkala berangan jadi MB. Ada pula yang berharap MB yang ada cepat-cepat turun supaya dapat mereka ganti. Juak-juak mereka pula buat macam andaian bahawa EXCO panglima mereka mempunyai peluang bear jadi MB.

Bila Tan Sri Dato Abu Hasan Omar gugur jadi MB ada EXCO yang sudah berangan jadi MB. Cakap pada orang suratkhbar pun macam sudah "snapshot" dia jadi MB. Tapi sinaran cahaya MB Tak sampai kesitu. Bukan EXCO yangg jadi MB. Seorang budak kampung dari Sungai Besar yang jadi MB. Melopong mereka. Kadangkala mereka yang jadi EXCO ini lupa bahawa nyawa mereka sebagai EXCO terletak pada hujung lidah dan jari MB saja.

Pokoknya dari mana putaran kuasa ini datang. Siapa yang beri mereka ini kuasa. Kuasa yang mengubah personaliti mereka dari seorang yang merendah diri (skala kiri) hingga menjadi seorang yang sombong dan angkuh (skala kanan).

Jawapannya mudah: KITA. Ya kita, pemimpin kerdil peringkat cawangan.

Kita jangan lupa kita yang mengangkat mereka. Kita angkat dia dari ahli cawangan menjadi ketua pemuda cawangan, menjadi ketua cawangan, menjadi AJK Pemuda bahagian, menjadi Ketua Pemuda bahagian, menjadi AJK bahagian dan mungkin ketua bahagian. Kemudian dia dapat jawatan wakil rakyat atau EXCO dan dengan kuasa dari jawatan itu. Dari pakai kereta cabok dia pakai kereta mewah. Dari rumah kecil ke rumah besar. Dari seorang yang sengkek sudah ada jutaan ringgit.

Kita yang berikan mereka kuasa. Kemudian apa yang berlaku. Mereka terus mahu duduk disitu. Kalau boleh sampai "kiamat". Dari satu penggal kesatu penggal. Dari satu penggal "akhir" ke satu penggal akhir. Dari satu "agenda atau kerja" yang belum selesai ke satu "agenda dan kerja" lain yang belum selesai. Bila "penggal" nak berakhir? Bila "agenda dan kerja" nak selesai? Sebab itu saya kata sampai kiamat.

Jangan lupa, kita yang berikan mereka kuasa. Mereka pula ingat kuasa ini hak mutlak mereka. Mereka "take for granted".

Ramai diantara kita (terutama ketua cawangan) yang jadi takut dengan mereka. Kita takut dengan kuasa yang mereka ada. Kita takut kerana mereka itu wakil rakyat. Kita takut kerana mereka sudah jadi EXCO. Kita jadi takut pada mereka dengan kuasa yang kita sendiri berikan pada mereka. Pelik bukan? Tetapi itulah kenyataannya bagi setengah ketua cawangan yang taksub dengan pemimpin yang mereka pilih.

Pemimpin yang cuba mempertahankan jawatan dan kuasa ini ada dua jenis. Jenis pertama ialah yang kita ikut kerana kita hormat dan suka mereka. Jenis kedua ialah kita ikut kerana kita takut dan terpaksa suka mereka.

Jenis yang pertama ini adalah pemimpin ideal tetapi sukar dicari. Kalau pemimpin jenis ini ramai akan aman bahagian semua orang. Mungkin "cikgu" bekas wakil rakyat Batu Laut tahun 70'an itu salah seorang darinya.

Jenis kedua ini ramai. Bila sudah dapat tempat dan sudah ada sedikit kuasa serta sudah ada kekayaan wang ringgit dia ingat dia boleh gertak dan boleh beli semua orang. Dengan kuasa yang ada dia takutkan pemimpin cawangan macam kita. Dengan wang dia cuba beli kita samada dengan beri wang, bagi hadiah atau bagi lawatan percuma pada kita. Kalau kita tak mahu ikut dia, dia cuba pancung kita. Kalau dia kalah tak boleh pancang dia pura-pura buat baik. Depan dia senyum, belakang dia tikam kita.

Dipendekkan cerita saya ingin bertanya anda:

Cubalah anda renungkan apakah jenis pemimpin UMNO Bahagian Shah Alam yang ada hari ini?

Jika anda dapati mereka dari kumpulan jenis pertama, maka kita hendaklah menyokong dan mendokong mereka.

Jika kita dapati mereka ini dari kumpulan jenis kedua, maka kita perlu melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan. Kita semua bertanggungjawab kepada kepimpinan yang ada. Satu hari nanti kita akan disoal perkara ini. Kita pastinya tidak boleh lari dari tanggungjawab ini sebagai pemimpin kerdil cawangan.

Jawapannya ada ditangan kita.

Sunday, September 03, 2006

Dok Tak Dok

Dok Tak Dok catatan dalam komenubsa.blogspot.com ini sudah ada 30 artikel.

Terima kasih pada para penulis penyumbang artikel. Ramai yang bertanya siapa anda. Itu rahsia saya sebagai penyelaras.

Pada yang ingin menyumbang sila hantar tulisan anda kepada e-mail: komenubsa@yahoo.com atau tekan butang komen pada artikel tertentu
.

Saturday, September 02, 2006

Budaya Samseng UMNO Shah Alam (Art 30)

Beberapa orang Ketua UMNO Cawangan yang menghadiri majlis taklimat khas Ketua UMNO Bahagian pada malam 5hb Ogos 2006 (Jumaat) mengadu bahawa mereka kecewa dengan sikap yang tidak bersopan beberapa pemimpin UMNO Bahagian.

Kata mereka bahawa pada malam itu ada orang mengedarkan surat penjelasan perletakan jawatan dari Hj Shamsudin Hashim, Datuk Manan dan Hj Md Taib. Orang yang mengedar itu telah dihalang oleh beberapa orang AJK Bahagian. Surat penjelasan setebal 13 muka itu telah dirampas dari budak yang mengedarkan.

"Itu masih Ok" kata ketua-ketua UMNO Cawangan tadi. "Yang tidak OKnya surat penjelasan yang sudah ada dalam tangan kami juga dirampas. Mereka minta surat itu dari kami. Bagi kami yang tidak suka bergaduh, kami ikut sajalah kehendak mereka".

Kata mereka lagi, "Tukang kutip itu kata dia diarahkan oleh Shahrin. Shahrin kata tak payah baca sampah macam tu".

"Kenapa Shahrin dan pemimpin bahagian takut sangat dengan surat itu. Kalau pemimpin bahagian betul apa mereka nak takut. Jawab sahajalah kandungan dalam surat itu. Meraka ada kuasa. Betul tak?" tanya seorang ketua cawangan lain.

"Saya amat tak setuju perangai macam ni. Ini budaya samseng. Mereka halang surat tu malam tu. Mereka halang lagi pagi besok masa persidangan. Apa punya biadap mereka ni. Mereka ingat kita ini siapa. Kita ini Ketua Cawangan tau. Takkan kita tak boleh nilai betul salahnya" tambah seorang KC lain pula.

Inilah budaya yang mula menular dalam UMNO Bahagian. Budaya samseng dan ugut mengugut dengan sedikit kuasa yang mereka ada. Ramai yang tahu siapa bapak samsengnya!!

Dipendekkan cerita khabarnya walaupun dihalang malam itu dan pagi besoknya, surat penjelasan tersebut telah sampai ketangan lebih 200 pemimpin (bahagian dan cawangan) melalui pos. Ada seorang KC pula berkata dia buat salinan untuk AJK cawangannya. Seorang KC pula berkata dia baca 3 kali untuk memahami isu sebenarnya.

Bagi anda yang tidak dapat salinan surat tersebut melalui pos, salinan surat tersebut ada dalam blog ini yang dibahagikan kepada beberapa bahagian. Sekarang bukan seratus dua yang boleh baca tetapi ribuan ahli UMNO dan orang lain boleh baca. Bukan mereka yang diShah Alam atau Selangor atau Malaysia, tetapi manusia seluroh dunia yang tahu bahasa Melayu boleh baca.

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 5

Bahagian 5

Penutup & Pasca Perletakkan Jawatan

Kami redha dan menerima apa yang berlaku berdasarkan kepada prinsip yang dipegang. Kami akur kepada keputusan Dato Ketua Bahagian mengenai jawatan-jawatan yang pernah kami pegang kerana itu adalah hak mutlaknya sebagai Ketua Bahagian yang tidak perlukan input pengurusan. Kami ucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik dengan begitu pantas menggantikan kami. Ianya menampakkan “decisiveness” serta keberanian beliau.

Kami dimaklumkan pada malam 8hb. Ogos 2006 YB Dato Timbalan Ketua Bahagian dalam satu majlis penjelasan (road-show) kepada 45 Ketua UMNO Cawangan isu ini di Kg. Kebun Bunga ada menyebut beliaulah yang meminta pegawai khasnya Sdra Shahrin dilantik sebagai ahli majlis. Beliau tidak menjangka perkara akan menjadi sebegini rupa dan jika tahu beliau rela menarik balik permintaannya (kenyataan 1).

Ironisnya pada malam esoknya (9hb. Ogos 2006) beliau menjelaskan kepada satu kumpulan kepimpinan cawangan yang lain pula bahawa permintaan beliau bagi Sdra Shahrin dilantik ahli majlis atas “kuota”nya sebagai wakil rakyat DUN Anggerik dan EXCO kerajaan negeri. Beliau menyatakan beliau hanya meminta haknya. Maka jika Setiausaha, Bendahari, dan Ketua Penerangan mempunyai prinsip maka beliau juga mahukan hak dan prinsipnya. Oleh itu apa yang berlaku perlulah diterima (kenyataan 2).

Kedua kenyataan ini amat bercanggah dan bertentangan dengan natijah yang berbeza. Satu bersifat toleransi dan tolak-ansur dan satu lagi penggunaan kuasa (jika betul?). Inilah kali pertama pula kami mendengar bahawa ada kuota ahli majlis untuk wakil rakyat. Ianya membawa implikasi yang berbeza kerana tidak pernah dibincangkan dalam pengurusan. Kami difahamkan bahawa kuota hanyalah diberikan kepada UMNO dan parti komponen BN dan terpulanglah kepada UMNO Bahagian untuk memutuskannya.


Perletakan jawatan kami telah diterima oleh pimpinan Bahagian dengan pantas sekali. Malah ada diantara AJK UMNO Bahagian dalam mesyuarat khas menggalakkan perletakan jawatan kami diterima dan boleh diganti dengan serta merta tanpa memikirkan implikasi akan timbul. Oleh kerana pendekatan ini telah diterima pakai oleh pimpinan bahagian maka susulan dan urutan perkara yang berlaku seterusnya perlulah ditangani oleh pimpinan bahagian sendiri. Kami langsung tidak diminta untuk “moratorium” atau melaksanakan “masa bertenang”. Oleh itu janganlah ada pihak yang cuba menyalahkan kami kepada perkembangan yang berlaku.

Kami berpendapat apa yang berlaku bermula dengan cadangan YB Dato Timbalan Ketua untuk melantik pegawai khasnya sebagai ahli majlis. Tambahan pula ini disokong oleh Naib Ketua. Gambaran ini menunjukkan wujudnya tekanan mereka berdua yang begitu kuat hinggakan mungkin meletakkan YB Dato Ketua Bahagian dalam satu situasi yang gawat dan serba salah. Mereka mungkin membuat andaian bahawa kami boleh dijinakkan kerana kami hanyalah orang yang dilantik dan perlu tunduk kepada cadangan tersebut sekalipun bertentangan dengan prinsip. Andaian dan tanggapan ini nyata meleset. Sebaliknya jika beliau membuat pendekatan menggunakan kuasa mutlak dan “veto power” Ketua Bahagian untuk melantik sesiapa jua maka perkara ini tidak akan berlaku dan kami akan mengikut kerana itu adalah haknya seperti yang kami nyatakan berkali-kali dalam mesyuarat pengurusan.

Bagi AJK Bahagian mereka yang mengatakan kami ini semuanya merajuk atau “sourgrapes” kerana tidak dapat jawatan ahli majlis, ini adalah satu penghinaan dan bahan lawak buat kami terutama pada Dato Bendahari. Kami tidak perlukan jawatan itu untuk buat duit atau bergantung kepadanya. Kami tidak sengkek kepada elaun atau projek dari MBSA atau MPSJ untuk terus hidup ataupun untuk membina empayar kekuatan seperti setengah orang. Jika kerusi majlis diberikan kepada kami pun ianya adalah tidak lebih dari pengiktirafan pada sumbangan kami kepada UMNO yang tidak boleh dipertikaikan.

Pada mereka yang mengatakan kami adalah “tiga ekor berok” (atau monyet) yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur dengan jawatan yang diberikan, kami mengucapkan “Alhamdulillah” dengan apa yang Allah wujudkan ke atas kami. Kami maafkan mereka kerana kemaafan itu adalah satu amalan yang mulia. Jika mereka tidak dimaafkan nanti susah pula mereka dalam kubur. Kami tahu siapa anda dan kami seronok tengok senyuman anda.

Kami percaya dan yakin bahawa apa jua yang berlaku mempunyai hikmah dan natijah pengajaran yang baik. Kami percaya tindakan kami ini akan menjadikan institusi Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan UMNO Shah Alam sebagai satu komponen pengurusan yang penting dan tidak boleh diambil mudah atau enteng. Ianya adalah institusi kepercayaan Ketua Bahagian kerana meraka adalah lantikan pilihannya dan merekalah yang menjadi “guardian angel” melindungi dan melaksana kepentingan Ketua Bahagian. Ini akan menguatkan dan mengukuhkan lagi badan pengurusan UMNO dan menjadikan jawatan ini lebih dihormati dan dihargai.

Kami ingin tegaskan bahawa kami adalah pejuang UMNO yang tulin yang telah mengikut arus gelombang politik UMNO dengan begitu lama dan telah melalui berbagai pengalaman pahit manis serta pasang surutnya. Pada kami perjuangan UMNO lebih utama dan bukan kepentingan jawatannya sahaja. Diantara kami bertiga ratusan pilihanraya kecil dan pilihanraya umum telah kami semadikan peluh dan keringat; dari ceruk kampung di Perlis hinggalah kesungai-sungai dan gunung-ganang di Sabah. Janganlah menghina dan memperkecilkan kami dengan kata-kata fitnah yang tidak berasas.

Akhir kata maaf kami pinta diatas sebarang kekasaran dan kata-kata yang mungkin menyinggung sesiapa sahaja.

Kami ucapkan selamat berjuang untuk menegakkan yang “amal makruf” demi kebaikan UMNO dan umat Melayu, agama dan negara seluruhnya.

Sekian, terima kasih.

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 4

Bahagian 4

Rasional Dan Rumusan Perletakkan Jawatan

Kami ingin menegaskan perkara berikut bahawa keputusan yang dibuat adalah atas sebab dan rasional seperti berikut:

i. Kami tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan bahagian yang bertindak diluar prinsip dan dasar yang telah diperakui bersama sebelum ini mengenai perlantikan ahli-ahli majlis perbandaran. Cadangan untuk mencalonkan ahli yang tidak menepati kriteria yang dipersetujui dan diperakui sebelum ini merupakan percanggahan keatas prosedur asas dan teras amalan kepimpinan dan pengurusan. Prinsip-prinsip kekananan dan kedudukan jawatan serta keanggotaan dalam pasukan pengurusan yang dijadikan landasan sebelum ini telah dicemari dan tidak diambil kira bagi mencalonkan ahli-ahli majlis tersebut oleh pucuk pimpinan bahagian.

ii. Kami terkilan dengan kegagalan pucuk pimpinan menghormati keputusan yang dibuat dalam pengurusan dengan mengumumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 8hb. Ogos 2006 bahawa pemilihan tersebut telah dipersetujui oleh pengurusan adalah sesuatu yang tidak benar dan bercanggah dengan perbincangan dalam pengurusan. Pucuk kepimpinan tidak mengambil kira pandangan kami sebagai ahli kumpulan pengurusan sekalipun menyatakan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada konsensus kumpulan. Perlu diingat majoriti dari kami memberikan pandangan yang negatif dengan cadangan yang ingin dibuat dan meminta ianya dikaji serta ditimbang semula.

iii. Kami tidak dapat menerima amalan sistem “kumpulan pengurusan dalam pengurusan iaitu ala “kitchen cabinet” dimana kami tidak terlibat malah tidak dimaklumkan sekalipun kami adalah ahli kumpulan pengurusan. Ini banyak berlaku dalam hal-hal yang melibatkan soal kewangan dan agihan peruntukan serta projek. Malah ada orang luar yang bukan ahli pengurusan pula terlibat dalam proses tersebut. Ianya menampakkan satu kelemahan pengurusan dan perlekehan kepada kami dan oleh itu adalah wajar kami menarik diri. Kami hanya diminta untuk memberi “endorsement” atau sebagai “rubber stamp” sahaja bagi kebanyakan keputusan penting.

iv. Kami kecewa kerana pucuk pimpinan bahagian meremehkan kepentingan sayap Pergerakan Puteri bahagian yang tempatnya kini ditarik balik sekalipun ini bercangggah dan tidak selari dengan cadangan Badan Perhubungan UMNO Selangor. Ini menunjukkan pihak pimpinan bukan sahaja tidak sensitif malah seolah-olah memperlekehkan kedudukan sayap ini yang dikatakan terlalu “junior” untuk diberikan tempat ahli majlis. Ini seolah-olah menidakkan penglibatan serta prestasi kerja ahli-ahli puteri UMNO Bahagian Shah Alam yang amat baik sebelum ini.

v. Kami menganggap isu kuota ahli majlis bagi wakil rakyat yang ditimbulkan oleh pucuk pimpinan adalah satu yang mengelirukan atau manipulasi untuk menghalalkan gesaan pihak tertentu bagi mendapatkan tempat tersebut bagi wakil mereka. Semua kuota yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk pertimbangan agihan UMNO Bahagian dan bukannya oleh wakil rakyat dengan kuota tertentu. Malah ada wakil rakyat dalam bahagian tertentu yang tidak menjadi ahli majlis kerana itu keputusan UMNO Bahagian mereka. Jika dua tahun dahulu agihan kepada pencalonan Hj. Yem Ismail ditolak oleh pengurusan atas kriteria diatas, maka kenapa kini pencalonan Shahrin Ahmad diterima pula.

Letak Jawatan Bhg 3 - Ucapan Bendahari & Setiausaha

B. Ucapan Dato Bendahari

Assalamualaikum wbth,

Saya ingin maklumkan bahawa perkara perlantikan jawatan ahli majlis telah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan UMNO Bahagian semalam. Tiada sebarang keputusan mengenainya telah dibuat dalam mesyuarat pengurusan tersebut. Keputusan yang dinyatakan oleh Dato Ketua Bahagian bukanlah keputusan mesyuarat pengurusan. Dato Ketua membuat keputusannya sendiri.

Oleh kerana saya memegang kepada prinsip dan memegang kepada perkara amalan kebiasaan kepimpinan maka saya dengan ini meletakkan jawatan saya selaku Bendahari UMNO Bahagian Shah Alam.


C. Ucapan Setiausaha

Yang Berhormat Dato` Ketua UMNO Bahagian Shah Alam
Dato` Timb. Ketua UMNO Bahagian
Dato`-Dato`, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Saya ingin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa Bahagian yang telah membantu saya dalam membuat persiapan Persidangan UMNO Bahagian Shah Alam tahun ini.

Saya percaya dan yakin Persidangan UMNO Bahagian yang akan diadakan pada 13 Ogos 2006 ini yang akan dirasmikan oleh Y.B. Dato` Seri Setiausaha Agong UMNO Malaysia dapat mencapai matlamatnya.

Di sini saya, Shamsudin bin. Hj. Hashim, ahli UMNO yang ke 7611 daripada tiga juta lebih ahli UMNO dengan ini mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Shah Alam berkuatkuasa esok iaitu 9 Ogos 2006. Keputusan yang berat dan sukar ini, terpaksa saya ambil demi menjaga maruah institusi badan pengurusan UMNO Shah Alam demi integriti dan kredibilitinya.

Sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Shah Alam saya adalah penyokong dan pendokong setia Y.B. Dato` Ketua Bahagian, namun dalam perkara prinsip dan dasar saya tidak boleh bertolak ansur.

Saya tidak mahu dilabelkan sebagai orang yang menggadai keutuhan prinsip kepimpinan kerana pentingkan jawatan. Benar, saya memang dilantik oleh Ketua UMNO Bahagian untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian. Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian adalah ahli-ahli pengurusan yang bekerja atau beroperasi dengan bidang tugas masing-masing yang khusus dan jelas. Sehubungan dengan itu, jawatan-jawatan ini janganlah dipandang remeh. Suara dan pandangan mereka perlulah diambil dan dipertimbangkan demi mengukuhkan institusi pengurusan tersebut. Mereka bukanlah ‘Rubber Stamp’. Mereka bukanlah kelompok pengurusan dalam pengurusan UMNO Bahagian Shah Alam dan dipinggirkan dalam isu-isu penting dalam pengurusan UMNO Bahagian. Janganlah ada yang berkata, “Dah dapat jawatan setiausaha buat kerja sahajalah, nak buat apa bising-bising lagi”.


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Dato` Ketua UMNO Shah Alam yang telah melantik dan memberi kepercayaan untuk menerajui Sekretariat UMNO Shah Alam selama ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Dato` Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan semua kepimpinan dalam UMNO Bahagian. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian yang telah memberikan kerjasama kepada saya selama ini.

Akhir sekali, saya ingin memohon ampun dan maaf di atas kesilapan dan kesalahan saya kepada Dato`-Dato`, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan sekelian. Saya juga merayu agar, selepas perletakan jawatan saya ini janganlah ada di kalangan rakan-rakan mengata dan memfitnah saya dan keluarga. Saya dan keluarga saya sama seperti tuan-tuan juga mempunyai harga diri dan maruah. Saya lebih menyayangi keluarga saya lebih dari segala-galanya. Saya mohon Y.B. Dato`, Datin, Tuan dan Puan sekalian teruskan perjuangan demi parti, agama, bangsa dan negara.


Sekian, wasalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.

· Selepas ketiga-tiga penjawat jawatan ini keluar dari bilik mesyuarat, Dato Ketua Bahagian mengakui bahawa perkara lantikan itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat pengurusan. Beliau kemudiannya mengaku itu adalah keputusannya atas permintaan Dato Timbalan Ketua.

· Dato Timbalan Ketua menyatakan memanglah beliau yang meminta tempat itu untuk Sdra Shahrin sebagai wakilnya. Beliau menambah bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk menarik balik permintaan ini jika dia tahu perkara tersebut akan menimbulkan kekecohan begini rupa.

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 3 - Ucapan Ketua Penerangan (Art 25)

Bahagian 3

Mesyuarat Khas JK UMNO Bahagian 8hb Ogos 2006

Dalam perkara terakhir mesyuarat khas ini Dato Ketua Bahagian telah membentangkan perkara perlantikan ahli-ahli majlis. Mengikut beliau ini adalah atas arahan YAB Menteri Besar bagi bahagian membuat penamaan. Beliau menyatakan UMNO Bahagian Shah Alam mempunyai 5 kerusi iaitu 4 kerusi diMBSA dan satu kerusi diMPSJ

Seterusnya beliau menyatakan “bahawa mesyuarat pengurusan yang bermesyuarat semalam telah membuat keputusan perlantikan ahli-ahli majlis iaitu beliau (Dato Ketua), Sdra Dzulkarnain Md. Ruslan -Naib Ketua (dipindahkan dari MPSJ), Sdra Abd. Rahim Mat Shah Ketua Pemuda dan Sdra Shahrin Ahmad di MBSA. Datin Niswati Ketua Wanita diMPSJ menggantikan Sdra Zulkarnain.” Beliau kemudian meminta pandangan.

Ketua Penerangan memberikan pandangan dan keputusannya seperti yang terdapat dalam teks dibawah diikuti oleh Dato Bendahari dan Setiausaha UMNO Bahagian.


Petikan Ucapan Perletakan Jawatan Ketua Penerangan, Dato Bendahari dan Setiausha UMNO Bahagian dalam mesyuarat Khas 8hb. Ogos 2006:

A. Ucapan Ketua Penerangan

YB Dato Ketua bahagian, YB Dato Timbalan Ketua, Sdra Naib Ketua, Dato / Datin, Tuan / Puan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah diatas pencalonan Ybhg. Datin Ketua Wanita dan Sdra Shahrin sebagai muka baru dalam ahli majlis.

Di sini saya juga ingin umumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan saya sebagai ketua Penerangan UMNO Bahagian berkuatkuasa esok hari 9hb. Ogos 2006 atas sebab-sebab berikut.

Saya membuat keputusan ini dengan hati yang berat dan rendah diri. Saya amat menghormati keputusan YB Dato Ketua UMNO Bahagian sementara saya pula sebagai Gurkha nombor satunya mempunyai pandangan yang berbeza dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Maka amatlah wajar saya memberi laluan bagi beliau meneruskan keputusan tersebut. Saya tidak bersetuju atas dasar prinsip yang diletakkan oleh YB Dato sendiri. Prinsip dan dasar dimana “kepentingan atau “interest” parti dan pengurusan UMNO Bahagian melebihi dan mengatasi kepentingan atau “interest” individu. Oleh kerana prinsip ini telah dicemari maka saya tidak dapat menerimanya.

Saya ingin menyatakan disini bahawa saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Sdra Shahrin. Malah beliau telah banyak memberi sokongan kepada saya bagi program Jalanan Merdeka UBSA 2006. Saya hanya berpegang kepada prinsip, dasar dan landasan mengenai kedudukan jawatan dalam parti, hiraki dan kekananan serta ahli-ahli badan pengurusan. Ini adalah prinsip dan prosedur yang perlu dipatuhi kerana ianya adalah “basic leadership principles” yang dicernakan oleh YB Dato Ketua bahagian sendiri. Sebagai ahli badan pengurusan saya ingin mengatakan bahawa kita “as leaders we should not waver and succumb to the whims and fancies of others and circumtances”.

Saya menyuarakan pandangan dan pendirian ini bukan kerana saya mahukan kerusi ahli majlis itu. Tempat itu boleh diberikan kepada orang lain tetapi biarlah mengikut adat, prinsip dan kriteria yang ditetapkan. Jangan kita hanya memperakui sesuatu bila ianya untuk memenuhi keperluan dan kehendak kita tetapi menukarnya dilain masa bagi memenuhi selera kita yang lain pula. Prinsip tetap prinsip dan mestilah dihormati. Jika tidak kita hanya akan menjadi bahan ketawa “laughing stock” orang lain atau pun sesama kita sendiri.

Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak perlukan jawatan ahli majlis itu sama seperti pingat-pingat PJK, AMS yang pernah ditawarkan tetapi ditolak sebelum ini sepanjang 17 tahun bermula tahun 1989 dalam UMNO Bahagian Shah Alam. Sepanjang 17 tahun itu saya telah memegang jawatan Setiausaha kerja Pemuda Bahagian, AJK Pemuda Bahagian, Bendahari Pemuda Bahagian, Setiausaha Pemuda Bahagian, Ahli Jawatankuasa Bahagian, Setiausaha Penerangan Bahagian dan akhir sekali Ketua Penerangan UMNO Bahagian. Rekod dan prestasi kerja saya bolehlah dinilai oleh anda semua.

Saya juga ingin tegaskan bahawa sepanjang tempoh tersebut saya tidak pernah mendapat sebarang ganjaran seperti rumah murah, tanah, tender dan projek dari sebarang wakil rakyat dalam bahagian ini. Ratusan atau ribuan jam dari masa saya dan wang ringgit saya sumbangkan dan abadikan untuk UMNO Bahagian. Saya tidak terkilan tidak dapat apa-apa tetapi janganlah menuduh saya merajuk kerana tidak menjadi ahli majlis iaitu satu jawatan yang terlalu kecil dan tidak membawa makna untuk direbutkan oleh saya.

Ini bukan soal merajuk. Ini adalah soal yang mengganggu serta menggugat “conscience” saya selaku ahli pengurusan UMNO Bahagian. Ini adalah mengenai “soul” dan “spirit”. Sebab itulah jika kita hilang “conscience, soul” dan “spirit” dan dengan sedikit kuasa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kita mudah lupa siapa kita lalu menjadi tamak dan rakus. Ini yang saya tidak boleh terima atau kompromi.

Akhirnya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato Ketua Bahagian yang telah memberi kepercayaan kepada saya selama ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK UMNO Bahagian yang telah memberi sokongan dan dokongan kepada saya selama ini. Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua di atas sebarang kesilapan dan kekasaran yang telah saya lakukan.

Selamat meneruskan perjuangan dan semoga diberkati Allah SWT.

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 2

Untuk Penjelasan Bhg 1 (Lihat Artikel terdahulu dibawah)

Bahagian 2

Sebelum Mesyuarat Khas JK UMNO Bahagian 8hb Ogos 2006

Beberapa perkara lain berkaitan perletakkan jawatan ini yang dirasakan patut diketahui oleh ahli-ahli UMNO telah berlaku selepas mesyuarat pengurusan pada 7hb. Ogos hinggalah sebelum mesyuarat pengurusan 8hb. Ogos 2006.

Dato Timbalan Ketua telah menghubungi Dato Bendahari melalui talipon kira-kira jam 3.00 petang bertanyakan kenapa cadangan beliau untuk meletakkan Sdra Shahrin sebagai ahli majlis tidak disokong oleh Dato Bendahari. Dato Bendahari pula cuba menerangkan bahawa beliau menolak atas sebab prosedur dan peraturan tetapi Dato Timbalan Ketua terus mematikan handphonenya.


Dato Bendahari kemudiannya ada menerima pesanan ringkas (sms) dari Dato Timbalan Ketua kira-kira setengah jam selepas itu dengan mesej “Maaf Dato kerana terkasar tadi”. (Nota: Dato Bendahari menyatakan bahawa beliau amat terkilan dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Dato Timbalan Ketua kerana mencemoh dan memarahinya)

Dato Timbalan Ketua
ada menghubungi Setiausaha bertanyakan kenapa beliau tidak menyokong cadangan untuk meletakkan Sdra Shahrin sebagai Ahli Majlis MBSA. Setiausaha menjawab bahawa beliau mengikut keputusan Dato Ketua bahagian tetapi menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh Ketua Penerangan, Dato Bendahari serta Datin Ketua Wanita ada rasionalnya yang berdasarkan kepada prinsip yang kukuh. Jika penggiliran hendak dibuat eloklah dalam kalangan jawatankuasa pengurusan terutama yang belum pernah.

Nota-nota & Catatan Lain:

Dato Ketua Bahagian dan Dato Timbalan Ketua telah pun memanggil Ketua Puteri sebelum mesyuarat pengurusan 7hb. Ogos bagi memaklumkan bahawa beliau akan digugurkan dan tempatnya akan diambil alih oleh Sdra Shahrin. Ketua Puteri memohon dan merayu agar ianya dapat disambungkan atas sebab imej dan kekuatan kepada Puteri tetapi ditolak.

Ketua Puteri kemudiannya membuat temujanji dan bertemu dengan Dato Ketua Bahagian pada tengah hari besoknya 8hb. Ogos meminta dan memohon supaya beliau dikekalkan sebagai ahli majlis MBSA. Beliau mengemukakan 8 alasan termasuklah kehendak dari Puteri kenapa beliau perlu dikekalkan sebagai ahli majlis.

Ketua Pemuda telah bertemu dengan Ketua Bahagian dimana Ketua Bahagian memaklumkan senario perlantikan ahli majlis termasuk perlantikan semula beliau (Ketua Pemuda) diMBSA dan kemasukan Sdra Shahrin menggantikan Ketua Puteri diMBSA.

Sdra Shahrin ada menemui Dato Ketua Bahagian meminta supaya beliau dilantik menjadi ahli majlis MBSA sebelum semua episod ini bermula.

Dato Timbalan Ketua dan Naib Ketua ada menemui Dato Ketua Bahagian beberapa kali bagi mencadangkan dan meminta Sdra Shahrin dilantik sebagai ahli majlis (Nota:. Ini diakui sendiri oleh Dato Timbalan Ketua dalam mesyuarat Khas JK bahagian pada 8hb. Ogos dengan menyatakan beliau yang meminta Ketua bahagian untuk melantik Sdra Shahrin).

Naib Ketua dan Sdra Shahrin ada menemui Ketua Bahagian bagi membincangkan perkara yang sama pada tengahhari 8hb. Ogos 2006 untuk berbincang mengenai perlantikan Sdra Shahrin.

Dalam perbincangan-perbincangan ini Setiausaha, Dato Bendahari dan Ketua Penerangan tidak langsung dilibatkan atau dimaklumkan. Inilah yang dikatakan “kumpulan pengurusan dalam pengurusan” atau “kitchen cabinet” di mana banyak keputusan penting yang lain dibincang sesama mereka sahaja dan kami pula sekadar “rubber stamp” dan tukang “endorse” sahaja.


Setiausaha telah memaklumkan kepada Dato Ketua pada pagi 8hb. Ogos bahawa ketua Penerangan telah menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan atas dasar prinsip sekiranya keputusan perlantikan yang dibuat Dato Ketua menyanggahi prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan.

Dato Ketua bertemu dengan Ketua Penerangan sebelum mesyuarat Khas AJK Bahagian bermula dan meminta beliau supaya mempertimbangkan keputusan yang akan dibuat. Ketua Penerangan memberi respons bahawa segalanya terserah dan bergantung kepada arahtuju dan keputusan yang akan dibuat oleh Dato Ketua.