Penjelasan Letak Jawatan Bhg 5
Bahagian 5
Penutup & Pasca Perletakkan Jawatan
Kami redha dan menerima apa yang berlaku berdasarkan kepada prinsip yang dipegang. Kami akur kepada keputusan Dato Ketua Bahagian mengenai jawatan-jawatan yang pernah kami pegang kerana itu adalah hak mutlaknya sebagai Ketua Bahagian yang tidak perlukan input pengurusan. Kami ucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik dengan begitu pantas menggantikan kami. Ianya menampakkan “decisiveness” serta keberanian beliau.
Kami dimaklumkan pada malam 8hb. Ogos 2006 YB Dato Timbalan Ketua Bahagian dalam satu majlis penjelasan (road-show) kepada 45 Ketua UMNO Cawangan isu ini di Kg. Kebun Bunga ada menyebut beliaulah yang meminta pegawai khasnya Sdra Shahrin dilantik sebagai ahli majlis. Beliau tidak menjangka perkara akan menjadi sebegini rupa dan jika tahu beliau rela menarik balik permintaannya (kenyataan 1).
Ironisnya pada malam esoknya (9hb. Ogos 2006) beliau menjelaskan kepada satu kumpulan kepimpinan cawangan yang lain pula bahawa permintaan beliau bagi Sdra Shahrin dilantik ahli majlis atas “kuota”nya sebagai wakil rakyat DUN Anggerik dan EXCO kerajaan negeri. Beliau menyatakan beliau hanya meminta haknya. Maka jika Setiausaha, Bendahari, dan Ketua Penerangan mempunyai prinsip maka beliau juga mahukan hak dan prinsipnya. Oleh itu apa yang berlaku perlulah diterima (kenyataan 2).
Kedua kenyataan ini amat bercanggah dan bertentangan dengan natijah yang berbeza. Satu bersifat toleransi dan tolak-ansur dan satu lagi penggunaan kuasa (jika betul?). Inilah kali pertama pula kami mendengar bahawa ada kuota ahli majlis untuk wakil rakyat. Ianya membawa implikasi yang berbeza kerana tidak pernah dibincangkan dalam pengurusan. Kami difahamkan bahawa kuota hanyalah diberikan kepada UMNO dan parti komponen BN dan terpulanglah kepada UMNO Bahagian untuk memutuskannya.
Perletakan jawatan kami telah diterima oleh pimpinan Bahagian dengan pantas sekali. Malah ada diantara AJK UMNO Bahagian dalam mesyuarat khas menggalakkan perletakan jawatan kami diterima dan boleh diganti dengan serta merta tanpa memikirkan implikasi akan timbul. Oleh kerana pendekatan ini telah diterima pakai oleh pimpinan bahagian maka susulan dan urutan perkara yang berlaku seterusnya perlulah ditangani oleh pimpinan bahagian sendiri. Kami langsung tidak diminta untuk “moratorium” atau melaksanakan “masa bertenang”. Oleh itu janganlah ada pihak yang cuba menyalahkan kami kepada perkembangan yang berlaku.
Kami berpendapat apa yang berlaku bermula dengan cadangan YB Dato Timbalan Ketua untuk melantik pegawai khasnya sebagai ahli majlis. Tambahan pula ini disokong oleh Naib Ketua. Gambaran ini menunjukkan wujudnya tekanan mereka berdua yang begitu kuat hinggakan mungkin meletakkan YB Dato Ketua Bahagian dalam satu situasi yang gawat dan serba salah. Mereka mungkin membuat andaian bahawa kami boleh dijinakkan kerana kami hanyalah orang yang dilantik dan perlu tunduk kepada cadangan tersebut sekalipun bertentangan dengan prinsip. Andaian dan tanggapan ini nyata meleset. Sebaliknya jika beliau membuat pendekatan menggunakan kuasa mutlak dan “veto power” Ketua Bahagian untuk melantik sesiapa jua maka perkara ini tidak akan berlaku dan kami akan mengikut kerana itu adalah haknya seperti yang kami nyatakan berkali-kali dalam mesyuarat pengurusan.
Bagi AJK Bahagian mereka yang mengatakan kami ini semuanya merajuk atau “sourgrapes” kerana tidak dapat jawatan ahli majlis, ini adalah satu penghinaan dan bahan lawak buat kami terutama pada Dato Bendahari. Kami tidak perlukan jawatan itu untuk buat duit atau bergantung kepadanya. Kami tidak sengkek kepada elaun atau projek dari MBSA atau MPSJ untuk terus hidup ataupun untuk membina empayar kekuatan seperti setengah orang. Jika kerusi majlis diberikan kepada kami pun ianya adalah tidak lebih dari pengiktirafan pada sumbangan kami kepada UMNO yang tidak boleh dipertikaikan.
Pada mereka yang mengatakan kami adalah “tiga ekor berok” (atau monyet) yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur dengan jawatan yang diberikan, kami mengucapkan “Alhamdulillah” dengan apa yang Allah wujudkan ke atas kami. Kami maafkan mereka kerana kemaafan itu adalah satu amalan yang mulia. Jika mereka tidak dimaafkan nanti susah pula mereka dalam kubur. Kami tahu siapa anda dan kami seronok tengok senyuman anda.
Kami percaya dan yakin bahawa apa jua yang berlaku mempunyai hikmah dan natijah pengajaran yang baik. Kami percaya tindakan kami ini akan menjadikan institusi Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan UMNO Shah Alam sebagai satu komponen pengurusan yang penting dan tidak boleh diambil mudah atau enteng. Ianya adalah institusi kepercayaan Ketua Bahagian kerana meraka adalah lantikan pilihannya dan merekalah yang menjadi “guardian angel” melindungi dan melaksana kepentingan Ketua Bahagian. Ini akan menguatkan dan mengukuhkan lagi badan pengurusan UMNO dan menjadikan jawatan ini lebih dihormati dan dihargai.
Kami ingin tegaskan bahawa kami adalah pejuang UMNO yang tulin yang telah mengikut arus gelombang politik UMNO dengan begitu lama dan telah melalui berbagai pengalaman pahit manis serta pasang surutnya. Pada kami perjuangan UMNO lebih utama dan bukan kepentingan jawatannya sahaja. Diantara kami bertiga ratusan pilihanraya kecil dan pilihanraya umum telah kami semadikan peluh dan keringat; dari ceruk kampung di Perlis hinggalah kesungai-sungai dan gunung-ganang di Sabah. Janganlah menghina dan memperkecilkan kami dengan kata-kata fitnah yang tidak berasas.
Akhir kata maaf kami pinta diatas sebarang kekasaran dan kata-kata yang mungkin menyinggung sesiapa sahaja.
Kami ucapkan selamat berjuang untuk menegakkan yang “amal makruf” demi kebaikan UMNO dan umat Melayu, agama dan negara seluruhnya.
Sekian, terima kasih.

<< Home