Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, September 02, 2006

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 4

Bahagian 4

Rasional Dan Rumusan Perletakkan Jawatan

Kami ingin menegaskan perkara berikut bahawa keputusan yang dibuat adalah atas sebab dan rasional seperti berikut:

i. Kami tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan bahagian yang bertindak diluar prinsip dan dasar yang telah diperakui bersama sebelum ini mengenai perlantikan ahli-ahli majlis perbandaran. Cadangan untuk mencalonkan ahli yang tidak menepati kriteria yang dipersetujui dan diperakui sebelum ini merupakan percanggahan keatas prosedur asas dan teras amalan kepimpinan dan pengurusan. Prinsip-prinsip kekananan dan kedudukan jawatan serta keanggotaan dalam pasukan pengurusan yang dijadikan landasan sebelum ini telah dicemari dan tidak diambil kira bagi mencalonkan ahli-ahli majlis tersebut oleh pucuk pimpinan bahagian.

ii. Kami terkilan dengan kegagalan pucuk pimpinan menghormati keputusan yang dibuat dalam pengurusan dengan mengumumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 8hb. Ogos 2006 bahawa pemilihan tersebut telah dipersetujui oleh pengurusan adalah sesuatu yang tidak benar dan bercanggah dengan perbincangan dalam pengurusan. Pucuk kepimpinan tidak mengambil kira pandangan kami sebagai ahli kumpulan pengurusan sekalipun menyatakan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada konsensus kumpulan. Perlu diingat majoriti dari kami memberikan pandangan yang negatif dengan cadangan yang ingin dibuat dan meminta ianya dikaji serta ditimbang semula.

iii. Kami tidak dapat menerima amalan sistem “kumpulan pengurusan dalam pengurusan iaitu ala “kitchen cabinet” dimana kami tidak terlibat malah tidak dimaklumkan sekalipun kami adalah ahli kumpulan pengurusan. Ini banyak berlaku dalam hal-hal yang melibatkan soal kewangan dan agihan peruntukan serta projek. Malah ada orang luar yang bukan ahli pengurusan pula terlibat dalam proses tersebut. Ianya menampakkan satu kelemahan pengurusan dan perlekehan kepada kami dan oleh itu adalah wajar kami menarik diri. Kami hanya diminta untuk memberi “endorsement” atau sebagai “rubber stamp” sahaja bagi kebanyakan keputusan penting.

iv. Kami kecewa kerana pucuk pimpinan bahagian meremehkan kepentingan sayap Pergerakan Puteri bahagian yang tempatnya kini ditarik balik sekalipun ini bercangggah dan tidak selari dengan cadangan Badan Perhubungan UMNO Selangor. Ini menunjukkan pihak pimpinan bukan sahaja tidak sensitif malah seolah-olah memperlekehkan kedudukan sayap ini yang dikatakan terlalu “junior” untuk diberikan tempat ahli majlis. Ini seolah-olah menidakkan penglibatan serta prestasi kerja ahli-ahli puteri UMNO Bahagian Shah Alam yang amat baik sebelum ini.

v. Kami menganggap isu kuota ahli majlis bagi wakil rakyat yang ditimbulkan oleh pucuk pimpinan adalah satu yang mengelirukan atau manipulasi untuk menghalalkan gesaan pihak tertentu bagi mendapatkan tempat tersebut bagi wakil mereka. Semua kuota yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk pertimbangan agihan UMNO Bahagian dan bukannya oleh wakil rakyat dengan kuota tertentu. Malah ada wakil rakyat dalam bahagian tertentu yang tidak menjadi ahli majlis kerana itu keputusan UMNO Bahagian mereka. Jika dua tahun dahulu agihan kepada pencalonan Hj. Yem Ismail ditolak oleh pengurusan atas kriteria diatas, maka kenapa kini pencalonan Shahrin Ahmad diterima pula.