Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, September 02, 2006

Letak Jawatan Bhg 3 - Ucapan Bendahari & Setiausaha

B. Ucapan Dato Bendahari

Assalamualaikum wbth,

Saya ingin maklumkan bahawa perkara perlantikan jawatan ahli majlis telah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan UMNO Bahagian semalam. Tiada sebarang keputusan mengenainya telah dibuat dalam mesyuarat pengurusan tersebut. Keputusan yang dinyatakan oleh Dato Ketua Bahagian bukanlah keputusan mesyuarat pengurusan. Dato Ketua membuat keputusannya sendiri.

Oleh kerana saya memegang kepada prinsip dan memegang kepada perkara amalan kebiasaan kepimpinan maka saya dengan ini meletakkan jawatan saya selaku Bendahari UMNO Bahagian Shah Alam.


C. Ucapan Setiausaha

Yang Berhormat Dato` Ketua UMNO Bahagian Shah Alam
Dato` Timb. Ketua UMNO Bahagian
Dato`-Dato`, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Saya ingin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa Bahagian yang telah membantu saya dalam membuat persiapan Persidangan UMNO Bahagian Shah Alam tahun ini.

Saya percaya dan yakin Persidangan UMNO Bahagian yang akan diadakan pada 13 Ogos 2006 ini yang akan dirasmikan oleh Y.B. Dato` Seri Setiausaha Agong UMNO Malaysia dapat mencapai matlamatnya.

Di sini saya, Shamsudin bin. Hj. Hashim, ahli UMNO yang ke 7611 daripada tiga juta lebih ahli UMNO dengan ini mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Shah Alam berkuatkuasa esok iaitu 9 Ogos 2006. Keputusan yang berat dan sukar ini, terpaksa saya ambil demi menjaga maruah institusi badan pengurusan UMNO Shah Alam demi integriti dan kredibilitinya.

Sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Shah Alam saya adalah penyokong dan pendokong setia Y.B. Dato` Ketua Bahagian, namun dalam perkara prinsip dan dasar saya tidak boleh bertolak ansur.

Saya tidak mahu dilabelkan sebagai orang yang menggadai keutuhan prinsip kepimpinan kerana pentingkan jawatan. Benar, saya memang dilantik oleh Ketua UMNO Bahagian untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian. Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian adalah ahli-ahli pengurusan yang bekerja atau beroperasi dengan bidang tugas masing-masing yang khusus dan jelas. Sehubungan dengan itu, jawatan-jawatan ini janganlah dipandang remeh. Suara dan pandangan mereka perlulah diambil dan dipertimbangkan demi mengukuhkan institusi pengurusan tersebut. Mereka bukanlah ‘Rubber Stamp’. Mereka bukanlah kelompok pengurusan dalam pengurusan UMNO Bahagian Shah Alam dan dipinggirkan dalam isu-isu penting dalam pengurusan UMNO Bahagian. Janganlah ada yang berkata, “Dah dapat jawatan setiausaha buat kerja sahajalah, nak buat apa bising-bising lagi”.


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Dato` Ketua UMNO Shah Alam yang telah melantik dan memberi kepercayaan untuk menerajui Sekretariat UMNO Shah Alam selama ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Dato` Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan semua kepimpinan dalam UMNO Bahagian. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian yang telah memberikan kerjasama kepada saya selama ini.

Akhir sekali, saya ingin memohon ampun dan maaf di atas kesilapan dan kesalahan saya kepada Dato`-Dato`, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan sekelian. Saya juga merayu agar, selepas perletakan jawatan saya ini janganlah ada di kalangan rakan-rakan mengata dan memfitnah saya dan keluarga. Saya dan keluarga saya sama seperti tuan-tuan juga mempunyai harga diri dan maruah. Saya lebih menyayangi keluarga saya lebih dari segala-galanya. Saya mohon Y.B. Dato`, Datin, Tuan dan Puan sekalian teruskan perjuangan demi parti, agama, bangsa dan negara.


Sekian, wasalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.

· Selepas ketiga-tiga penjawat jawatan ini keluar dari bilik mesyuarat, Dato Ketua Bahagian mengakui bahawa perkara lantikan itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat pengurusan. Beliau kemudiannya mengaku itu adalah keputusannya atas permintaan Dato Timbalan Ketua.

· Dato Timbalan Ketua menyatakan memanglah beliau yang meminta tempat itu untuk Sdra Shahrin sebagai wakilnya. Beliau menambah bahawa beliau tidak mempunyai masalah untuk menarik balik permintaan ini jika dia tahu perkara tersebut akan menimbulkan kekecohan begini rupa.