Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, May 10, 2008

Hari Lahir UMNO & Memilih Pemimpin UMNO - Bhg 1

Hari ini 11hb Mei adalah hari lahir UMNO. Pesanan ringkas (sms) yang saya terima dari seorang rakan saya yang jiwa raganya adalah UMNO mengingatkan saya pada hari lahir UMNO. Saya petikan semula "sms"nya untuk renungan bersama.

"Alhamdulillah. Apakah 11hb Mei 1946 mampu menjadi tarikh keramat lahirnya UMNO. Hari ini kita sambut dengan kuasa yang tidak lagi cukup kekuatannya. UMNO yang kuat perlukan pemimpin yang kuat disemua peringkat. Bila kepimpinan UMNO dikuasai dengan pemimpin-pemimpin Melayu cetak rompak, jangan salahkan UMNO. UMNO lahir kerana kehebatan pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu. Kini UMNO menuju kehancuran kerana pemimpin-pemimpin Melayu sekarang. Teruskan perjuangan walaupun dengan tangisan air mata rakyat".

Ini membuatkan saya teringat pada pemilihan pimpinan UMNO tahun ini. Bermula pertengahan bulan Julai ini persidangan cawangan akan bermula. Jika persidangan tahun lalu sunyi sepi kerana persediaan menghadapi PRU 12, kali ini situasi akan bertukar menjadi lebih amat hangat. Riuh rendahh dan hirok pikoknya sudah mula terasa.

Kali ini setiap cawangan akan memilih pemimpinnya. Pemimpin akar umbi yang akan menentukan pimpinan bahagian dan Majlis Tertinggi.

Lebih penting dan genting lagi tahun ini adalah waktu memilih pemimpin bahagian setelah ditangguhkan sejak tahun lepas (2007). Pastinya kali ini pemilihan kali ini menjadi lebih panas akibat senario kekalahan yang berlaku dalam PRU 12. UMNO Bahagian Shah Alam juga tidak terlepas. Kedua-dua pemimpin teratas UMNO Bahagian kecundang dalam pilihanraya setelah masing-masing menjadi wakil rakyat 3 dan 2 penggal. Jika rakyat menolak mereka dipeti undi, apakah ahli-ahli UMNO melihat mereka masih relevan untuk memimpin UMNO bahagian Shah Alam?

Senario Pemilihan Berubah
Pemilihan bahagian yang lepas-lepas biasanya amat mudah. Petunjuk utama sudah tersedia ada. Ukuran dan kriteria utama ialah kedudukan mereka sebagai wakil rakyat. Jawatan wakil rakyat menjadi sebab pilihan utama bagi ahli-ahli akar umbi.

Secara umumnya jika pucuk pimpinan parti memilih seseorang untuk menjadi calon wakil rakyat dan menang pilihanraya kedudukannnya dalam peringkat bahagian juga ada. Seolah-olah ianya sudah ditunjuk sebagai pemimpin walaupun dia berkebolehan atau tidak. Jika orang atau pilih dia calon wakil rakyat, tentu dia boleh jadi pemimpin UMNO.

Tetapi kali ini senario itu sudah berubah. UMNO Shah Alam tidak ada wakil rakyat. Calon yang bertanding, dan mereka pula bekas wakil rakyat, TEWAS!!! Kredibiliti mereka sudah tercalar dan tercabar. Sebenarnya jika mereka tidak menjadi wakil rakyat, terutama Timbalan Ketua UMNO Bahagian sekarang yang tidak pernah bertanding jawatan parti (kecuali sewaktu jawatan ketua Pemuda yang didokong oleh semua JK UMNO Bahagian waktu itu), kewibawaannya tidak pernah dicabar. Tup, tup terus jadi wakil rakyat dari Ketua Pemuda.

Jadi apakah kriteria pemilihan pimpinan bahagian kali ini. pemimpin bagaimanakah yang mahu kita pilih?

Kriteria Apakah Menjadi Ukuran?
Pemimpin bagaimanakah yang diperlukan sekarang. Dalam sembang-sembang kedai kopi (kopitiam, cafe, coffeehouse dan gerai-gerai) saya bertanyakan soalan ini.

"Apakah kriteria pemimpin yang patut kita pilih?"

Jawapan yang saya terima berbagai-bagai seperti berikut yang tidak mengikut urutan kepentingan.



  1. Mesti ada wang dan ekonomi kukuh
  2. Mempunyai kelayakan akademi yang baik
  3. Meletak agenda parti lebih penting dari agenda diri
  4. Memiliki personaliti baik - ikhlas, tidak sombong, boleh ditegur
  5. Berwawasan dan mempunyai halatuju yang jelas
  6. Berkesanggupan memberi masa untuk memberi tumpuan kerja parti
  7. Cintakan kekukuhan parti dan semangat juang tinggi
  8. Keupayaan (Kemahiran, Pengalaman, Ilmu) untuk memimpin dan mengurus

Jawapan yang diberikan oleh kumpulan akar umbi ini tidak tersusun mengikut penting dan mustahak pada awalnya.

Agak-agaknya apakah jawapan pertama yang akan keluar dari mulut mereka (ramai yang saya tanya semasa buat tinjauan ini) ??

Jawapan yang keluar dari kebanyakan mulut mereka ialah sesiapa yang beraspirasi untuk menjadi pemimpin mestilah mempunyai wang yang banyak.

Huh, sebab itulah ramai yang nak jadi pemimpin UMNO Bahagian Shah Alam. Dapat peluang untuk jadi wakil rakyat, dapat peluang untuk jadi ahli majlis perbandaran, dapat peluang untuk berebut projek potong rumput atau cuci kawasan, dll. Semuanya sebab WANG. Wang dijadikan ukuran utama. Sebab leka dan asyik dengan wang (melombong projek sana sini) menyebabkan ahli akar umbi dan pengundi diabaikan hinggakan tertonggeng. Bila tertonggeng, masih salahkan pengundi kononnya sudah lupa pada jasa mereka. Jasa apa ????

Ini mengingatkan saya dalam pertemuan dengan PDM Seksyen 9 seorang ahli bertanyakan apakah agenda DEB pada pemimpin bahagian. Beliau mentakrifkan DEB sebagai "Dasar Ekonomi Balun dan Bolot". Huh, kacau !!!

Susunan Kriteria Memilih Pemimpin

Habis pusingan pertama (percambahan minda) saya minta mereka ambil masa dan fikir dengan dalam-dalam. Kriteria mana yang paling penting?

Jawapan yang saya perolehi seperti berikut:

  1. Cintakan kekukuhan parti dan semangat juang yang tinggi (7)

Inilah yang paling penting, kata mereka. tanpa semangat juang yang menuntut keberanian serta keterbukaan cintakan parti seperti masa menuntut kemerdekaan dahulu parti UMNO akan hancur. Jika asyik dengan agenda mahu jadi wakil rakyat untuk balun dan bolot apa yang ada, parti akan hancur. (Dari #7 sudah jadi #1).

Apakah kriteria kedua paling penting?

2. Meletak agenda parti lebih penting dari agenda sendiri (#3)

Agenda syok sendiri dan berangan-angan untuk jadi wakil rakyat sahaja supaya dapat balun buat duit mestilah diketepikan. Kita tidak mahu wakil rakyat kita miskin. tetapi jika asyik cari kekayaan dan meletakkan kepentingan parti sebagai sampingan seperti yang berlaku sekarang itu sudah tidak betul.

Sambungan ...... Memilih Pemimpin UMNO Bahagian - Bhg 2