Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, April 19, 2008

Pemilihan Kepimpinan UMNO Bahagian 2008

Pastinya tahun ini adalah tahun bersejarah dalam pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian.

Pertama, pemilihan tidak lagi secara kebiasaan. Buat pertama kalinya pucuk pimpinan yang akan dipilih bukanlah dari kalangan wakil rakyat. Pimpinan Bahagian sekarang iaiatu Salamon (KB) dan Nawawi (TKB) kecundang dalam pilihanraya. Tidak ada lagi prefix YB pada nama-nama mereka yang bertanding. Medan pemilihan adalah sama rata.

Kalau dahulu kebiasaannya mereka yang bergelar wakil rakyat menjadi keutamaan pada ahli-ahli; samada kerana menerima dengan ikhlas ataupun kerana "hormat" yang dipaksa. Ini kerana pergantungan kepada projek-projek kecil PBT, peruntukan wakil rakyat, jawatan-jawatan yang diagih (spt nazir mesjid, Ketua kampung) yang dibawa oleh kuasa wakil rakyat.

Oleh kerana itu laluan amatlah sukar bagi mereka yang tidak bergelar YB untuk menerajui pucuk pimpinan bahagian.

Kali ini kuasa-kuasa yang boleh "memaksa" itu sudah tiada. Pemilihan kali ini lebih bersifat kepada "merit". Sindrom takutkan wakil rakyat atau "paksa hormat" yang menyebabkan "pilihan terpaksa" sudah hilang.

Jika dahulu beberapa AJK bahagian terpilih kerana mereka adalah "kroni" atau orang kanan kepada wakil rakyat yang menerajui bahagian kali ini nasib mereka belum tentu. Kebanyakan dari mereka ini hanyalah AJK "enggeh" atau "yes men" sahaja. Buat menghangatkan kerusi bahagian sahaja. Tidak payahlah kita nyatakan siapa mereka satu demi satu kerana umumnya pimpinan akar umbi tahu siapa mereka.

Orang-orang seperti inilah yang menyebabkan UMNO Bahagian Shah Alam menjadi lemah, lesu dan kurang berwibawa. Jika UMNO bahagian itu sebuah kereta empat silinder, maka mereka ini adalah 2-3 silinder yang tidak berfungsi menyebabkan kereta tidak berfungsi sepenuhnya.

Cukuplah mereka ini telah diberi peluang sekian lama untuk mencukupkan kuorum mesyuarat sahaja. Masanya telah tiba untuk kita memasukkan mereka yang lebih berupaya dan mempunyai idea-idea baru. Eloklah 2-3 silinder yang tidak berfungsi digantikan dengan silinder baru agar kereta kita dapat berlumba dengan lebih baik dalam pilihanraya yang akan datang dan kembali menjuarai perlumbaan.

Semuanya terletak ditangan anda sebagai pemimpin akar umbi.