Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Friday, April 18, 2008

Terjualkah Bangunan UMNO Shah Alam (Bhg 2)

Pengurusan Bangunan Yang Tidak Profesional

Salah satu faktor utama yang menyebabkan timbunan hutang akibat aliran tunai yang meruncing ialah pengurusan bangunan yang tidak bijak serta profesional. Sememangnya pengurusan bangunan sekarang bukanlah orang profesional. Ruang-ruang bangunan banyak yang kosong. Ruang-ruang prime (tingkat bawah dan tingkat satu) pula tidak disewa untuk menjana sumber kewangan.

Cubaan untuk menyewa tidak dibuat secara bersungguh-sungguh. Sepatutnya UMNO Bahagian melantik ejen-ejen profesional untuk membantu cara design dan kaedah penyewaan yang boleh mendatangkan hasil yang optima. Kaedah sekarang yang dibuat secara ad-hoc oleh pengurus bangunan tidak mendatangkan hasil yang setimpal.

Jika bangunan LPP disebelah boleh mendapat penyewaan hampir RM100 ribu sebulan, kenapa bangunan UMNO Shah Alam tidak dapat meraih hasil yang lebih kurang serupa.

Pada saya UMNO Bahagian tidak serius dalam mengwujudkan nilai komersial kepada bangunan tersebut. Ruang yang ada digunapakai untuk syok sendiri atau lebih kepada kebajikan yang akhirnya memudaratkan UMNO dengan bebanan hutang.

Pengurusan Hutang Yang Teruk
Pada hemat saya UMNO Shah Alam adalah penghutang (debtor) yang teruk. Mungkin kerana ada kedudukan dan kuasa sebelum ini hutang-hutang itu dibiarkan lapuk dan meningkat bertimbun-timbun.

Contohnya, hutang cukai pintu dengan MBSA. Kerana kedudukan EXCO, wakil rakyat, dan ahli majlis maka hutang itu dibiarkan meningkat dari tahun ketahun. Niat untuk membayarnya mungkin tidak pernah timbul kecuali jika keadaan mendesak. Hari ini keadaan bukan mendesak, tetapi sudak nazak.

Begitu juga dengan hutang penyelenggaraan dengan URUS PDUSA. Hutang ini tidak dijelaskan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut jadual. Bukan makin mengurang tapi makin meningkat. Mungkin kerana lembaga pengarah URUS PDUSA pun adalah pemimpin UMNO. Pengarah Urus PDUSA naik pening kepala.

Oleh kerana bebanan hutang UMNO kepada Urus PDUSA terlalu banyak maka beberapa tahun lalu TNB telah memotong bekalan letrik keKompleks Dagangan UMNO Shah Alam. Bukan bangunan UMNO Shah Alam sahaja yang kena malah semua bangunan dan pejabat disitu. Ini menyebababkan KWSP melenting dan memberi amaran untuk keluar dari situ.

Semuanya gara-gara stail pengurusan Ketua UMNO Bahagian. Hari ini dia mahu sebahagian dari bangunan. Saya rasa eloklah dia terangkan kedudukan hutang yang sebenarnya dan biar pucuk pimpinan baru mengambil alih dan merongkainya.

Jika betul keadaan kewangan meruncing dan bangunan terpaksa dijual juga biarlah pimpinan baru memikirkannya dalam masa jangka panjang. Bukan dibuat dengan tergesa-gesa dalam masa jangka pendek. Jual bangunan melibatkan jutaan ringgit kepentingan ahli bukanlah perkara kecil dan dibuat kelam-kabut dalam masa yang pendek. "Common sense and intelligence should prevail".