Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, May 10, 2008

SMS Hashim & "Bodohnya Pemimpin Aku"

Sambil bersantai disalah sebuah café diSeksyen 18 Shah Alam menikmati secawan kopi saya menerima satu pesanan ringkas mengingati hari ulang tahun UMNO yang ke 62. Pesanan dari seorang ahli UMNO bernama Hashim dari Bkt Jelutong.

Begini bunyinya:

“Assalamualaikum. Bukan 50, bukan 500 tahun, bukan 5000 tahun Melayu bernaung di tanah bertuah ini. Yang datang berdagang, yang datang bertandang, malah yang datang menumpang diterimanya dengan harmoni di bumi ini.

Bangsa Melayu mulia kerana memuliakan agama. Bangsa ini bangsa yang taat kerana maruah dirinya adalah amanat. Bangsa ini bangsa yang ikhlas bersahabat selagi rakan menjunjung daulat.

Tetapi sejarah menyaksikan bahawa bangsa ini takkan pernah berundur jika ada yang khianat mencabar dan mencemar maruah agama dan daulat. Tanah ini adalah pusakanya. Tiadalah yang lebih mulia dari mencintai dan mempertahankan warisan ibunda tercinta.

Selamat ulang tahun UMNO yang ke 62. Salam perjuangan”.

Bahasa yang indah tersusun. Membuatkan saya teruja dan berharap biarlah begitu hakikatnya. Tetapi benarkah begitu jika UMNO hari ini ketandusan pemimpin yang benar-benar menghayati jiwa perjuangan. Menghayati bahawa maruah bangsa dan agamanya adalah amanah pada dirinya.

Itulah yang membuatkan saya tidak keruan. Mengharapkan agar ada mereka yang benar-benar menjiwai perjuangan memartabatkan maruah bangsa dan agama. Mengharapkan cucu dan cicit serta zuriat saya yang seterusnya dapat terus bernaung dibumi yang "tuahnya’ berkekalan.

Pada siapalah harapan ini harus saya sandarkan. Pada segelintir pemimpin yang kini budayanya laksana perompak dan lanun, mengikis amanah secara halus, menghakis sedikit kuasa bangsa yang ada kerana gelojoh dan tamak halobanya. Menjual tanah sekangkang kera.

Dalam songkok UMNO, slogannya “Hidup Melayu”. Dalam topi wakil rakyat bersekongkol dengan yang lain slogannya berubah menjadi “Hidup Aku”. Maka berubahlah Bukit Jelutong, SP Setia, Kayangan Heights, Sunway dan bermacam lagi gugusan elitas yang tidak aku ketahui namanya. Maka akan adakah lagi Shah Alam Bandaraya Melayu Bestari jika ini berterusan.

Tidakkah Nawawi dan Salamon memahami ini semua???

”Ah, betapa bodohnya pemimpin aku. Pemimpin Melayu”. Pernah aku bersuara dalam satu forum yang mereka ini biasa ketahui.

Wajarkah mereka ini aku panggil pemimpin? Aku tidak punyai jawapannya!