Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Saturday, August 19, 2006

Utusan Malaysia - Letak Jawatan

Tiga pemimpin UMNO Shah Alam letak jawatan

SHAH ALAM 10 Ogos – Pucuk pimpinan UMNO Bahagian Shah Alam bergolak apabila tiga pemimpinnya meletakkan jawatan secara serentak berkuat kuasa semalam selepas berbalah dengan Ketua Bahagian, Datuk Salamon Selamat.

Perbalahan itu berpunca daripada pelantikan seorang Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang baru iaitu Shahrin Ahmad menggantikan Ketua Puteri, Jumaeah Masdi bagi penggal hadapan.

Tiga pemimpin yang meletakkan jawatan ialah Setiausaha UMNO Bahagian, Shamsudin Hashim, Bendahari, Datuk Manan Mohd. Said dan Ketua Penerangan, Md. Taib Mat.
Pengumuman peletakan jawatan secara mengejut itu dibuat pada Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Shah Alam malam kelmarin di hadapan Salamon dan timbalannya, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin serta pemimpin bahagian lain.

Shamsudin ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, peletakan jawatan itu dibuat atas dasar prinsip selepas Salamon selaku ketua didakwa mengetepikan pandangan mereka dalam hal pelantikan ahli majlis MBSA itu.

Kata beliau, Salamon juga telah melanggar prinsipnya selama ini untuk melantik ahli majlis berdasarkan ‘senioriti’ dalam UMNO bahagian apabila memilih Shahrin yang merupakan pegawai khas kepada Ahmad Nawawi.

‘‘Dalam Mesyuarat Pengurusan UMNO Bahagian Isnin lalu, Salamon umumkan nama-nama sebagai ahli majlis MBSA dan kami tanya adakah itu cadangannya atau minta pandangan kami.

‘‘Jika cadangannya sendiri kami tidak kisah kerana itu haknya sebagai ketua untuk melantik sesiapa juga, tetapi pada hari itu beliau meminta pandangan kami dan kami bantah kerana salah seorang daripadanya masih junior,” katanya.

Shamsudin berkata, mesyuarat itu berakhir tanpa sebarang keputusan namun Salamon pada Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Shah Alam keesokan harinya telah mengumumkan nama-nama ahli majlis terbabit.

Selain Shahrin, tiga lagi nama ahli majlis yang diumumkan ialah Salamon sendiri, isterinya, Datin Niswaty Dimyati yang juga Ketua Wanita Bahagian dan Naib Ketua Bahagian, Zulkarnain Md. Ruslan.

Katanya, Salamon menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan mesyuarat pengurusan sedangkan mesyuarat itu berakhir tanpa sebarang keputusan dan ini amat mengecewakan mereka.

Menurutnya, oleh kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Salamon itu, Md. Taib bangun dan memberi ucapan peletakan jawatan diikuti Manan dan beliau sendiri.

Sementara itu, Md. Taib berkata, tindakan meletakkan jawatan bukan merajuk kerana tidak mendapat jawatan ahli majlis tetapi adalah atas prinsip yang ditekankan oleh Salamon sendiri selama ini.