Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Friday, August 18, 2006

Penjelasan Letak Jawatan Bhg 1

Petikan Dari Surat Penjelasan Yang Diedarkan:

12hb. Ogos 2006
18hb Rejab 1427


Ahli-ahli Perwakilan
UMNO Bahagian Shah Alam

Saudara & Saudari Yang Dohormati,

Penjelasan Kes Perletakan Jawatan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Shah Alam

Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan yang menghadiri Persidangan UMNO Bahagian Shah Alam tahun ini.

Seperti yang diketahui umum kami bertiga telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha , Bendahari dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Shah Alam mulai 9hb. Ogos 2006. Oleh kerana perkara seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO Bahagian Shah Alam sejak ianya ditubuhkan lebih dari 20 tahun yang lalu, dan berlaku pula ketika hari persidangan menjelang tiba; maka tentunya banyak persoalan, andaian dan spekulasi telah timbul. Dalam pekeliling yang panjang lebar ini (bacalah hingga tamat untuk mengetahui kisahnya !) kami ingin menjelaskan secara terperinci mengikut kronologi sebab musabab serta rasional yang menyebabkan kami bertiga terpaksa mengambil tindakan sebegitu sukar dan dengan hati yang berat.

Kami ingin menegaskan di sini bukanlah niat kami untuk mengerohkan atau memburukkan keadaan dengan penjelasan ini. Kami membuat penjelasan ini dengan penuh keinsafan, kesedaran dan tanggungjawab kerana timbulnya tohmahan-tohmahan dan tuduhan-tuduhan liar yang menyebut kami gilakan jawatan ahli majlis telah tersebar luas. Ini telah dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan maruah kami serta cuba mengalihkan (diversion) dari isu asal perletakkan jawatan kami. Kami lakukan penjelasan ini kerana kami berhutang penjelasan kepada ahli-ahli UMNO akar umbi dalam UMNO Bahagian Shah Alam bagi memberi gambaran kedudukan perkara yang berlaku kerana masih ada yang kekaburan dan terpinga-pinga serta terkejut dengan tindakan drastik kami.

Bahagian 1

Mesyuarat Pengurusan 7hb Ogos 2006

Latar belakang perletakkan jawatan kami bermula dengan mesyuarat pengurusan UMNO Bahagian yang diadakan pada 7hb. Ogos 2006. Mesyuarat ini dihadiri oleh semua ahli-ahli pengurusan terdiri dari YB Dato Ketua Bahagian (Pengerusi), YB Dato Timbalan, Naib Ketua, Ketua Pemuda, Datin Ketua Wanita, Ketua Puteri, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan. YB Timbalan Ketua meninggalkan mesyuarat separuh jalan sebelum agenda perlantikan ahli majlis dibentangkan oleh YB Dato Ketua.

YB Dato Ketua memulakan perbincangan dengan mengatakan YAB Menteri Besar memerlukan nama-nama calon ahli majlis MBSA (4 kerusi) dan MPSJ (1 kerusi) yang diperuntukan kepada UMNO Bahagian Shah Alam (bukan peruntukan untuk wakil rakyat). Beliau seterusnya menyatakan bagi MBSA calon ahlinya ialah beliau sendiri, Naib Ketua (dibawa balik dari MPSJ), Ketua Pemuda dan Sdra Shahrin Ahmad. Tempat Sdra Shahrin ini sebelum ini dipegang oleh Ketua Puteri. Bagi MPSJ calon ahlinya ialah Datin Ketua Wanita. Beliau kemudian membuka untuk perbincangan.

Ketua Penerangan bertanya Dato Ketua samada keputusan ini hendak dibuat atas nama Ketua bahagian atau atas nama Pengurusan. Sekiranya dibuat atas kehendak Ketua Bahagian maka tidak perlulah dibincang lagi. (Pertanyaan ini dibuat dua kali). Ketua Bahagian menyatakan ianya hendaklah dibuatkan berasaskan syor ahli-ahli kumpulan pengurusan.

Oleh kerana ini terbuka kepada pihak Pengurusan untuk memutuskannya maka Ketua Penerangan menyatakan bahawa cadangan perlantikan Sdra Shahrin adalah kurang tepat kerana tidak mengikuti dasar dan prinsip yang telah diamalkan sebelum ini iaitu jawatan atau kedudukan dalam UMNO bahagian, kekananan (seniority), dan ahli kumpulan pengurusan. Oleh kerana beliau tidak menepati prinsip dan kriteria maka tidak wajarlah ia dicalonkan. Ahli majlis hendaklah digilirkan dalam kumpulan pengurusan. Ketua Penerangan menyatakan berkali-kali bahawa dia tidak berminat dan bolehlah diberikan kepada Dato Bendahari atau pun diberikan balik kepada Ketua Puteri.

Dato Bendahari pula mengatakan sebagai seorang Ketua Bahagian yang telah lama menerajui UMNO Bahagian maka Dato Ketua tentulah lebih arif dan maklum dengan prosedur dan “leadership and management rules” yang telah ditetapkan. Oleh itu tidaklah wajar untuk Dato Timbalan Ketua Bahagian mencadangkan wakilnya dan adalah juga tidak perlu untuk Ketua Bahagian menimbangkannya langsung dan membentangkannya dalam mesyuarat ini.

Setiausaha pula menyatakan bahawa dia mengikut sahaja tetapi eloklah ada penggiliran ahli majlis kepada ahli-ahli pengurusan.

Naib Ketua pula menyatakan Dato Timbalan Ketua adalah ahli EXCO kerajaan negeri yang mengawalselia MBSA dan inginkan seorang wakil untuk membuat pemantauan bagi membantu dirinya. Oleh itu permintaan Dato Timbalan Ketua untuk meletakkan Sdra Shahrin sebagai wakilnya hendaklah diberi pertimbangan yang sewajarnya dengan alasan beliau sibuk dan lain-lain.

Ketua Wanita pula mengatakan oleh kerana Timbalan Ketua adalah ahli EXCO kerajaan negeri yang mengawal selia MBSA yang mempunyai ramai pegawai maka beliau (Timbalan Ketua) maka tidaklah perlu ada wakil bagi mewakilinya. Beliau mempunyai kuasa untuk memberi arahan terus kepada Datuk Bandar dan pegawai-pegawai MBSA. Disamping itu ahli-ahli majlis mewakili UMNO Bahagian seramai empat orang di MBSA juga dapat menolong dan memantau perkembangan MBSA dengan memberi laporan kepada beliau.

Ketua Penerangan menekankan bahawa oleh kerana Wanita dan Pemuda mempunyai ahli majlis maka pertimbangan yang wajar perlulah diberikan kepada Puteri. Ini adalah selaras dengan garis panduan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor yang meletakkan wakil Pemuda, Wanita dan Puteri sebagai ahli majlis.

Dato Ketua Bahagian menyatakan tidaklah perlu Puteri diberi tempat lagi kerana kedudukannya yang agak “junior” serta keutamaan jika dibandingkan dengan Pemuda dan Wanita (nota: sekarang baru timbul “junior” dan “senior”).

Ketua Puteri pula merayu supaya pertimbangan diberikan semula supaya sambungan ahli majlis dapat diberikan kepada sayap itu sebagai lambang dan imej pergerakan itu. Tambahan pula kedudukan ahli majlis dapat membantu beliau mendapatkan sedikit bantuan untuk puteri.

Perdebatan ini berlanjutan dengan tidak ada keputusan yang dibuat mengenai cadangan meletakkan Sdra Shahrin sebagai ahli majlis. Ketua Bahagian menyatakan ia perlu difikirkan semula. Mesyuarat tergantung disitu.

* Mesyuarat ini menunjukkan bahawa 5 ahli pengurusan (Ketua Penerangan, Bendahari, Ketua Wanita, Ketua Puteri serta Setiausaha) mahukan jawatan ahli majlis dikekalkan mengikut dasar dan prinsip yang sedia ada. Ketua Pemuda tidak bersuara menyatakan pendapatnya.
Bahagian 1