Komen UBSA

Memuatkan berita semasa UMNO Bahagian Shah Alam untuk ahli-ahli yang peka dan ingin tahu perkembangannya terutama pandangan mengenai kepimpinan dan arahtujunya. E-Mail komen: komenubsa@yahoo.com

Friday, August 18, 2006

Komen Pak Lah

KUANTAN, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua bahagian Umno yang sedang rancak mengadakan mesyuarat perwakilan ketika ini supaya mematuhi peraturan parti, tidak membuat kacau atau bergaduh."Nasihat (saya), ikut peraturan, jangan kacau, jangan gaduh sudahlah...," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat di Kampung Pak Mahat, Kempadang, dekat sini Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.Ketika ditanya sama ada parti ada mengeluarkan garis panduan untuk mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan, Abdullah berkata: "Tak ada apa garis panduan."Bahagian-bahagian Umno kini rancak mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing dari 3 Ogos hingga 10 Sept ini.Abdullah yang juga Presiden Umno turut ditanya punca peletakan jawatan beberapa pemimpin Umno bahagian baru-baru ini.

Terbaru, tiga pemimpin utama Umno bahagian Shah Alam meletak jawatan masing-masing Rabu lepas kerana tidak bersetuju dengan keputusan pihak pengurusan Umno bahagian itu berhubung pelantikan ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).Mereka yang meletak jawatan ialah Setiausaha bahagian Shamsudin Hashim, Ketua Penerangan Mat Taib Mat dan Bendahari Datuk Manan Md Said.

Ketiga-tiga pemimpin itu dilaporkan meletak jawatan setelah Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Salamon Selamat mengumumkan cadangan untuk menamakan Sharin Ahmad, seorang ahli jawatankuasa bahagian itu, sebagai ahli majlis MBSA yang baru bagi menggantikan tempat Jumaeah Masdi, kini Ketua Puteri Umno Shah Alam, pada mesyuarat khas Umno bahagian itu pada hari Rabu.

Sebelum itu, pada 4 Ogos lepas, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat Syed Mohamed Noor Azmi Syed Hassan Nazari juga meletak jawatan yang berpunca daripada masalah peribadi.Ketika diminta mengulas isu peletakan jawatan itu, Abdullah berkata: "Yang saya dengar berhubung letak jawatan (itu disebabkan) pasal hal lain, tidak ada kena mengena dengan parti, itu hal peribadi."

Abdullah yang dalam rangka lawatan dua hari ke Pahang bermula semalam, dijadual mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Pahang di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang Jumaat malam.-- BERNAMA